[Terkini] Pada 16 Sept 2021, ” Genap 5 tahun Almarhum Baba meninggalkan kita ” (6Gmbr)

Bandar Baru Bangi : Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu sedang mereka tidak merubah (janjinya).” (Surah al-Ahzab : 23)

Aku tak tahu nak mulakan dari mana. Mungkin perasaan sebak dan sayu lah yang membawa aku ke penulisan ini. Penulisan tentang Almarhum Baba Tuan Guru Prof Dato Dr Haron Din Al-Hafiz, رحمه الله .
Hari ini, 16 September, genaplah 5 tahun Almarhum Baba kembali ke alam Baqa’. Menemui penciptaNya. Allah sayang Baba, dibawanya Baba jauh bersemadi di buminya yang luas ini.

Seluas-luas bumi Allah, luas lagi rahmatNya pada Baba sehingga jarak maqamnya Baba dengan rumah beliau di Bangi ini menjadi satu ukuran pahala buat beliau di Syurga sebagaimana lafaznya hadis Abdullah bin Amru, riwayat Ibnu Majah itu.

Dan berkebetulan pula hari ini jatuh pada hari Malaysia. Hari besar pembentukan perpaduan warga Malaysia dan hari duka pula sebab warganya kehilangan pembentuk keperibadian ummat iaitu Almarhum Baba.

Aku mula mengenali Baba (secara dekat bukannya melalui Televisyen) iaitu seawal aku menetap di Bandar Baru Bangi ini. Ketika itu aku bertugas di sebuah Jabatan tak jauh dari rumah sewaku.

Dalam pada aku tak suka ke depan untuk dikenali sesiapa, Abang dan Kakak angkatku telah mengatur beberapa siri kuliahku di Bangi ini. Mulanya ganti-gantikan Ustaz yang tak dapat datang, lama-lama diberinya jadual tetap untok aku berkongsi apa yang aku tahu walaupun hakikatnya banyak yang aku tak tahu.

Dan itulah asbabnya yang membawa aku ke Surau Almarhum Baba, surau depan rumah dan Darul Syifa’ beliau.

Satu hari Baba datang bersila seperti jemaah lain juga untok mendengar kuliah Maghrib. Aku yang dah naik atas kerusi kuliah ni terus turun untok mempersilakan Baba naik mengajar, tapi Baba jawab :

“Ubaid, teruskan.”

Aku pun dudok semula di kerusi kuliah dan berkuliah ringkas sahaja malam tersebut. Usai kuliah, Baba imamkan kami.

Sebenarnya aku cukop meminati Baba. Jangan kata sebab kita semua melihat Almarhum dalam Forum Perdana Hal Ehwal Islam, tapi aku lebeh melihat kepada prinsip dan akhlaknya sebagai Muslim. Tegas, hikmah dan istiqamah dalam berprinsip.

Membuatkan Baba mempunyai sudut ketokohan tersendiri. Pada aku, Baba lebeh dikenali dari sudut ketokohan ilmunya yang luas dan ‘rasikh’ berbanding politik. Bahkan politik dapat pula mengambil istifadhah dari keluasan ilmunya Baba.

Dan kerana minatnya aku pada Baba, seawal belasan tahun lagi aku mula baca karya Baba iaitu Manusia dan Islam.

Bahkan pernah pertemuan kami berlansung di Makkah yang mana usai makan bersama Baba, aku tunjokkan gambarnya Almarhum ayahanda Baba dan Allahyarhamuha Bondanya Baba.

Nampak Baba senyum dan terselit sedikit sebak di dada sambil Baba berkata :

” Nanti Ubaid hantarkan ke telefon Baba.”

Dan memang selepas itu aku lihat dalam buku aturcara Darul Syifa’ kami, ada terpampang gambarnya Almarhum Haji Lebai Din Wan Awang dan Allahyarhamuha Bonda Hajah Che Teh Wan Nik.

Satu hari, dalam tahun 2013, sewaktu aku pulang dari Haji, aku mengalami satu mimpi yang membuatkan perasaanku bercampur baur. Ya, aku bermimpi bertemu Rasulullah SAW.

Dalam mimpi itu, aku mengikut Baginda SAW bertawaf sedang aku berada paling belakang dan Baginda paling hadapan. Yang peliknya kami bertawaf dalam keadaan mengikut arah jam.

Sehingga aku dapat melihat jelas pipi Baginda SAW yang kemerahan atau lebeh kepada merah jambu itu. Bahkan saatnya aku menulis ini pun terbayang jelas aku akan pipinya Baginda SAW yang mulia.

Pada Baba aku titipkan kisah mimpi ini untok mengambil istifadah dan nasihat darinya. Aku nyatakan juga keraguanku sebab aku ni terlalu banyak alpanya serta jauh pula dari Allah.

Baba tampaknya gembira. Seakan ada sebak bila Baba berbicara . Baba menitipkan beberapa nasihat dan panduan kepadaku yang tak dapatlah aku kongsikan semuanya . Cuma baba meminta aku selalu istiqamah membuat amalan nafilah dan berusaha menjadi insan yang benar.

Usai bersama Baba baharulah mimpi itu aku titipkan pula pada Tuan Guruku, satu tokoh ilmuan tanah ayer ini. Hanya mereka berdua sahaja.

Bahkan aku masih ingat, akulah menjadi orang tengah saatnya Tuan Guruku berhajat untok bertemu dengan Almarhum Baba secara rahasia kerana ada beberapa perkara yang hendak dirujuk kepada Baba.

Sempat juga aku aturkan 2 kali pertemuan di rumah Baba pada malam yang berkat itu. Bila berada di rumah Baba dalam pertemuan tertutup sa-perti itu, banyaklah mutiara ilmu yang dapat aku kutip hasil bersuhbah seketika dalam keheningan malam.

Sebenarnya, kami dengan Baba selalu juga berkumpul sama-sama. Sama ada untok makan-makan (jemputan dari sahabat untok Baba) mahupun ketika pertemuan khusus di rumah sahabatku di Putrajaya. Kokde dan Balin bukanlah asing padaku bahkan menjadi tempat rujukan jua padaku sebagai ganti kepada Baba.

Sehinggalah satu hari tu, dalam bulan Zulhijjah, Baba sudi menerima jemputan sahabatku di Putrajaya untok datang makan-makan dan menasihati kami 10 orang yang akan berlepas ke tanah suchi. Aku ingat lagi waktu tu 4 Zulhijjah.

Banyak nasihat Baba pada kami. Uniknya nasihat itu disampaikan dalam frasa yang tak panjang tapi tepat dan sampai ke lubok hati. Antaranya Baba bercerita tentang bagaimana kisahnya Baginda SAW meminta doa dari Abu Bakar yang turun nak kerjakan Haji.

Dan aku pula tak lepaskan peluang membuat rakaman (yang akhirnya menjadi rakaman terakhir kita semua mendengar pesanan Baba). Pesanan 10 hari sebelum Baba pergi menghadap Ilahi. Pesanan tentang manusia dan pengorbanan. Apatah lagi bersempena Zulhijjah yang baru berlabuh ketika itu.

Seingat aku rakaman ini telah diview lebeh dari sejuta view dalam tempoh 4 tahun ini. Banyak komentar yang aku baca kat bawah video tu. Antara paling banyak ialah sampai sekarang mereka masih mendoakan Baba. Subhanallah.

Satu malam aku tak dapat melelapkan mata. Waktu itu aku di bilikku depan Masjidil Haram, Makkah. Apa tidaknya, berita kesihatan Baba di California sana membawa kegusaran dalam jiwaku. Berkali-kali juga aku tanyakan perkhabarannya pada sahabatku kalau-kalau Kokde ada menghantar berita.

Hinggalah aku mengambil keputusan untok turun bertawaf dan berikrar membacakan Al-Quran buat Baba. Apatah lagi malam Jumaat Sayyidul Ayyam itu, di bumi Makkah yang suchi pula.

Mudah-mudahan menjadi syifa’ buatnya. Aku lantas menuju ke Masjidil Haram. Ruang paling atas aku tuju dan mula bertawaf. Ayat-ayat suchi aku alunkan dan niatkan untok Baba di sana. Sa-hinggalah usai tawaf dan berdoa panjang aku pulang semula ke bilik.

Sempat aku lelapkan mata seketika sebelum aku dikejutkan dengan berita hening : BABA TELAH TIADA.Sewaktu itu aku tak dapat rancang apa nak dibuat melainkan aku cuba call anak saudaranya Ustaz Nabil dan juga sempat aku bercakap pula dengan Hamdi anakandanya Baba.

Pada Hamdi aku ceritakan tentang keharusan hukumnya membawa balek jenazah dan mungkin kerana kesedehanku itulah membuatkan aku lebeh cenderung kepada pendapat Malikiyyah yang mengharuskan bawa pulang jenazah Baba ke tanah ayer. Dengan syarat-syarat menjaga kehormatan jenazah.

Terasa hening dalam jiwa. Lantas membawa aku sekali lagi ke Masjidil Haram. Membaca Al-Quran, bertawaf dan berdoa buat Almarhum Baba.

Walaupun aku ingat beberapa kisah di celah-celah penulisan ini untuk aku kongsikan tapi kesedehan yang sedang aku rasai saatnya penulisan ini aku tulis membuatkan banyak kisah tak dapat aku lakarkan.

Cuma, kami bertahlil dan bergilir-gilir membaca ayat Suchi Al-Quran untok Baba. Samalah juga saatnya kami menuju ke Arafah (waktu itu Baba masih dalam rawatan) kami bertahlil dan berdoa untok Baba di bumi Arafah yang berkat itu.

Sesekali aku mendapat updated dari sahabatku berita tentang Baba di sana melalui anak sulong Baba, Kokde ku Dr Huda Haron. Menurut Kokde mereka telah membuat keputusan untok semadikan Baba di sana.

Hari-hari akhir di tanah suchi terasa hening dalam jiwaku. Entah kenapa pemergiaan Baba jauhhh disemadikan di sana membuatkan keheningan ini terasa indah lebeh-lebeh lagi bila berada di tanah haram yang berkat.

Apatah lagi mengingatkan hadis Abdullah bin Amru Radhiyallahu Anhuma yang menyebut :

تُوُفِّيَ رَجُلٌ بِالْمَدِينَةِ مِمَّنْ وُلِدَ بِالْمَدِينَةِ فَصَلَّى عَلَيْهِ النَّبِيُّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ فَقَالَ ‏”‏ يَا لَيْتَهُ مَاتَ فِي غَيْرِ مَوْلِدِهِ ‏”‏ ‏.‏ فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ النَّاسِ وَلِمَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ ‏”‏ إِنَّ الرَّجُلَ إِذَا مَاتَ فِي غَيْرِ مَوْلِدِهِ قِيسَ لَهُ مِنْ مَوْلِدِهِ إِلَى مُنْقَطَعِ أَثَرِهِ فِي الْجَنَّةِ

Maksudnya: Seorang lelaki telah meninggal dunia di Madinah yang mana dia di antara manusia yang lahir di Madinah. Maka Rasulullah S.A.W pun solat ke atas jenazahnya lalu bersabda: Alangkah bagusnya sekiranya dia meninggal dunia di tempat selain tanah kelahirannya.

Maka seorang lelaki pun bertanya: Mengapakah begitu wahai Rasulullah ? Jawab baginda S.A.W: Sesungguhnya seorang lelaki itu apabila dia meninggal dunia di selain tempat kelahirannya maka akan diukur buatnya jarak daripada tempat kelahiran sehinggalah tempat dia meninggal itu di syurga.

(Riwayat Ibn Majah).

Baba disemadikan di Five Pillars Farm Livermore, California,
Disolatkan dan dikafan serta dimandikan di Masjid An-Noor, Santa Clara,Diimamkan oleh anakandanya Hamdi Haron.

Diimamkan pula solat jenazah ghaibnya oleh cucuandanya Hakeem Hamdi, Dan disolat ghaibkan di seluruh dunia oleh umat Islam.
Sekilas tentang Baba :

Wajahnya tenang terkias dari ketenangan batinnya. Tuturnya lembut terkias dari kelembutan jiwanya. Tegas berprinsip terkias dari rasikh ilmunya,Penoh Hikmah terkias dari amal ikhlasnya. Terzahir haibahnya terkias dari lubok makrifatnya.

Tiada apa yang dapat kami ucapkan melainkan ucapan yang diungkapkan oleh Rasulullah SAW :
أَنَّ لِلَّهِ مَا أَخَذَ، وَلَهُ مَا أَعْطَى، وَكُلُّ شَىْءٍ عِنْدَهُ بِأَجَلٍ مُسَمًّى…فَلْتَصْبِرْ وَلْتَحْتَسِبْ
Maksudnya: Sesungguhnya kepunyaan Allah segala yang telah diambil dan kepunyaan-Nya segala yang telah diberi dan bagi setiap sesuatu di sisi-Nya mempunyai tempoh yang tertentu…bersabarlah dan haraplah pahala daripada Allah.

(Riwayat Al-Bukhari).Dari Annur Baba melangkah dan di An-Noor Baba disemadikan. Menuju Nur Hakiki, abadi.

Bisirril Al-Fatihah. -Ubaid Syakir-16 September 2021,Bandar Baru Bangi. Credit Geng Surau Putrajaya.