Seniman Datuk Aziz Sattar, ” Tolak tawaran ke Hollywood” (4Gmbr)

Pada tahun 2009, seniman Datuk Aziz Sattar telah menerima satu panggilan telefon dari sebuah “telent agency” yang berpusat di Singapura. Wakil agensi tersebut bertanggungjawab mencari bakat dari rantau Asia bagi mengisi watak untuk satu filem terbitan antarabangsa.

Nama Aziz Satar menjadi pilihan mereka dan mahu berbincang dengannya lebih lanjut. Satu pertemuan telah diadakan di Singapura untuk membincangkan tentang watak, skrip, jadual penggambaran, pembayaran dan sebagainya.

Selepas perbincangan selesai, Aziz Satar diberi masa untuk membuat keputusan samada menerima tawaran tersebut atau sebaliknya. Watak yang diberikan hanyalah satu ‘scene’ sahaja, tetapi memerlukannya untuk berada di lokasi penggambaran di Bali selama dua minggu.

Jika Aziz Satar ingin membawa seorang pembantu, ia tidak dibiayai oleh pihak produksi, sebaliknya segala perbelanjaan adalah atas tanggungan sendiri.

Seperti yang kita sedia maklum, Bali merupakan sebuah pulau yang mempunyai banyak gunung-gunung berapi yang masih aktif.

Mengenangkan perkara itu, Aziz Satar agak khuatir dengan keselamatannya berada di sebuah tempat berisiko tinggi berseorangan buat jangka waktu yang agak lama. Memandangkan usianya ketika itu sudah pun menjangkau 84 tahun dan sudah pasti beliau memerlukan seorang pembantu dari kalangan ahli keluarga.

Di Bali juga agak sukar untuk mendapat makanan halal, walaupun ada, tetapi tidak banyak. Namun masalah bayaran langsung tidak difikirkannya.

Dan setelah memberi pertimbangan yang sewajarnya, Aziz terpaksa melepaskan peluang tersebut.

Filem yang dimaksudkan adalah filem Hollywood “EAT, PRAY, LOVE” lakunan Julia Roberts. Watak yang sepatutnya diberikan kepada Aziz Satar adalah sebagai ‘medicine man’ Ketut Liyer.

Jika tidak, Aziz Satar merupakan seniman kedua era filem Melayu hitam putih selepas Ibrahim Pendek yang berpeluang berlakun dalam filem Hollywood. Walaupun seniman Salleh Melan pernah turut berlakon dengan produksi filem Gold Snake dari Italy, tetapi ianya tidak ada kena mengena dengan Hollywood.

Turut terpilih membintangi filem ini adalah pelakon senior dari Indonesia iaitu Chistine Hakim. Menurut Datuk Aziz Sattar, soal wang tidak pernah menjadi ukuran dalam menjalankan tanggungjawab. Dalam membuat satu-satu keputusan tentang tawaran, perkara lain selain dari bayaran diambil kira dahulu.

Walaupun dalam beberapa situasi, wang perlu diambil kira, namun secara dasarnya semangat dan “passion” melebihi dari segalanya. Itulah seniman sejati.

Teks : HAR Sumber : Sandakiah Azez (Anak)The Patriots, Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik. Credit fb Repair Gambar Lama.