Kerana desakan hidup, ” Suami isteri bawa anak 5 tahun selongkar sampah ” (3Gmbr)

Melaka : Selongkar tong sam­pah untuk mencari apa sahaja barang terpakai yang boleh dijual menjadi rutin sepasang suami isteri serta anak mereka yang berusia lima tahun untuk meneruskan hidup.

Demi sesuap nasi, Ridzuan Abd Rahim, 27, dan isterinya, Nor­hidayah Mad Rabi, 26, yang kini sarat mengandung anak ke­dua nekad ketepikan rasa malu.

Setiap hari, Ridzuan akan me­naiki motosikalnya dan singgah di mana-mana sahaja lokasi longgokan sampah untuk mencari barangan yang boleh dijual.

Katanya, dia akan meronda bermula dari Limbungan hingga ke Sungai Udang, manakala isteri dan anaknya, Nurul Siti Aisah, 5, ditinggalkan di sebuah gudang yang tidak digunakan di Klebang yang menjadi tempat barangan terpakai dihimpun sebelum dijual.

Berbekal sebuah khemah uzur, di situlah isteri dan anak saya, kadang-kadang mereka duduk dan tidur menantikan saya balik membawa barangan terpakai.

Sebelum ini saya bekerja di Batu Berendam, namun, terpaksa berhenti kerja selepas pergelangan tangan kirinya patah akibat terjatuh dari pokok kelapa, Februari lalu.

Saya terpaksa berhenti kerja kerana hilang upaya apabila ta­ngan kiri tidak lagi boleh memegang atau menggenggam,katanya dengan penuh sayu ketika ditemui Utusan Malaysia.

Tambah Ridzuan, kehidupan terus malap akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjadi salah satu punca sukar untuk mencari pekerjaan baharu.

Ujarnya, tidak ada syarikat mahu menerimanya bekerja ke­rana kecacatan di pergela­ngan tangan kiri yang dialami.

Demi mencari sesuap nasi untuk isteri dan anak, saya tidak ada pilihan lain, menyelongkar tong sampah bagi mendapatkan barang terpakai yang boleh dijual, jelasnya.

Ridzuan yang menyewa rumah di Sungai Udang berkata, dia pernah dimasukkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan tangan kirinya.

Apabila pihak hospital memberitahu perlu membayar kos rawatan tangan kiri sebanyak RM2,700, saya mengambil keputusan keluar dari situ kerana tidak mampu untuk membayarnya, katanya.

Dalam pada itu Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan membiayai pembedahan pergelangan tangan kiri Ridzuan Abd. Rahim, 26, yang kisah hidupnya menyelongkar tong sampah untuk terus hidup dilaporkan Utusan Malaysia, hari ini.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Md. Rawi Mahmud berkata, selain membiayai kos pembedahan itu, Ridzuan bersama isterinya, Norhidayah Mad Rabi, 26, serta anak, Nurul Siti Aisah, 5, turut menerima bantuan makanan RM200 setiap bulan.

Di samping itu, katanya lagi, keluarga tersebut turut menerima bantuan sara hidup sebanyak RM200 setiap bulan.

Melihat kisah hidup mereka sekeluarga, MAIM juga akan menawarkan sebuah rumah tiga bilik di Rumah Pangsa Al-Ehsan untuk mereka diami.

Jika mereka berasa lebih selesa tinggal di Sungai Udang, MAIM akan membayar sewa dengan peruntukan sebanyak RM400 sebulan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Md. Rawi sebelum itu hadir menemui pasangan suami isteri tersebut di rumah ibu Ridzuan di Kampung Permatang, Pulau Gadong dekat sini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Mohd. Asri Abdul.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kisah Ridzuan yang nekad menyelongkar tong sam­pah untuk mencari apa sahaja barang terpakai yang boleh dijual untuk meneruskan hidup.

Ridzuan yang sebelum ini bekerja di Batu Berendam, berhenti kerja selepas pergelangan tangan kirinya patah akibat terjatuh dari pokok kelapa.

Mengulas lanjut, Md. Rawi berkata, keluarga terbabit akan mula menerima bantuan daripada MAIM dengan kadar segera.

Apa yang paling penting, pembedahan pergelangan tangan kiri Ridzuan akan dibuat di Hospital Melaka dalam masa terdekat.

Ini penting kerana apabila pergelangan tangan kirinya pulih, dia sudah boleh bekerja seperti biasa dan tidak lagi menyelongkar sampah menjadi sumber rezeki menyara keluarga mereka,ujarnya.Credit Utusan Online.